Saturday, August 20, 2011

SELAMAT HARI RAYA CIKGU

PEMECATAN ABDUL KUDUS TIDAK SAH

PUTRAJAYA 19 Ogos - Bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad mendapat khabar gembira menjelang Hari Raya Aidilfitri ini apabila Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan pemecatannya daripada jawatan itu, lapan tahun lalu tidak sah dan terbatal.

Beliau yang kini menyara hidup dengan melakukan kerja sampingan termasuk sebagai pemandu teksi turut memperoleh ganti rugi khas iaitu tunggakan gaji dan emolumen selama tujuh bulan (RM3,015 sebulan) ekoran pemecatannya pada 11 Jun 2003.

Abdul Kudus, 49, yang diwakili peguam M. Manoharan mula berkhidmat dengan agensi itu pada 15 Januari 2001 dan kontraknya selama tiga tahun sepatutnya tamat pada 14 Januari 2003. Bagaimanapun, dia dipecat tujuh bulan lebih awal.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie ketika membenarkan rayuan bekas pegawai tentera itu turut memerintahkan MPAJ menjelaskan kos sebanyak RM25,000 dan faedah kepada Abdul Kudus.

Hakim Sulong yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Hakim Datuk Zaharah Ibrahim ketika menyampaikan keputusan ringkas itu menyatakan, pemecatannya itu tidak sah kerana MPAJ menggunakan klausa yang salah ketika memecatnya.

Pada 27 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan pemecatannya adalah sah selepas berpuas hati bahawa MPAJ mempunyai hak memecatnya atas alasan yang munasabah.

Hakim Noor Azian Shaari ketika memutuskan demikian berpendapat, Abdul Kudus tiada hak mempertikaikan pemecatan itu kerana dia menandatangani perjanjian secara sukarela yang memberi kuasa kepada majikannya memecat beliau berdasarkan alasan munasabah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Kudus menyatakan, beliau mula berkhidmat sebagai pegawai penguat kuasa pada 15 Januari 2001, sebelum dipecat ekoran hasil siasatan dalaman agensi berkenaan.

MPAJ yang diwakili peguam Faizal Hassan Abdul Hamid menyatakan, pegawai kanannya itu terlibat dalam salah laku kerana membuat kenyataan palsu bahawa dia bukan seorang muflis selain mengeluarkan kenyataan akhbar tanpa kebenaran pihak atasan.


Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...