Thursday, July 22, 2010

MAKNA GAYONG

GAYONG

a. huruf Ga mewakili genggam. Genggam bermaksud kepatuhan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada ajaran Islam dan amanah Silat Seni Gayong yang telah ditinggalkan allahyarham Dato' Paduka Meor Abdul Rahman, Pendita Agung persilatan Melayu moden.


b. huruf Alif mewakili Angkat. Ia bererti kewajipan murid-murid Gayong untuk menjunjung kedaulatan Al-Quran dan ketuanan Melayu. Di samping itu juga, semua murid Gayong mestilah memelihara segala amanah sebagai murid dan ahli Gayong yang digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi.


c. huruf Ya ialah yakin, bahawasanya kita beriman dengan kebenaran al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW serta segala apa yang dilakukan hendaklah bertauhidkan Allah SWT. Semua murid dan ahli Gayong juga mestilah yakin dengan kelebihan ilmu yang dipelajari dan hanya menggunakannya untuk kebaikan.


d. huruf Wau ialah waras. Waras dalam ertikata sedar, rasional dan penuh keinsafan atas segala tindakan dan keputusan yang bakal diambil. Ia menggambarkan bahawa seseorang murid dan ahli Gayong tidak akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan buruk baik dan akibat sesuatu perkara.


e. Manakala huruf Nga pula memberi erti ngeri. Ngeri dengan kebesaran Allah SWT dan azab seksaan-Nya, ngeri atau kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara atau ketika mempamerkan Silat Seni Gayong.


Lima huruf di atas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucap dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, berzakat dan mengerjakan fardhu Haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong mestilah menjaga kewajiban mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam. Pada hakikatnya, kekuatan seseorang murid Gayong itu terpancar melalui keupayaan melaksana segala titah perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.


Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang disebutkan di atas barulah dianggap seorang murid Gayong itu benar-benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong.


*sumber dr gelanggangdatomeor.com*

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...